Isu Demografi Kependudukan Perlu Tanya Kepada Kaum Yang Bertambah Dengan Tidak Masuk Akal
1. Pada tulisan saya yang lepas saya mengatakan bahawa Yb. Datuk Junz Wong diletakkan pada kementerian yang salah.
2. Beliau sepatutnya mengepalai kementerian yang sesuai dengan latar belakang kehidupan serta pendidikan yang beliau miliki agar dapat mengaplikasikan kemahiran yang ada di dalam kementerian yang dipegangnya.
3. Apabila ada beberapa warganet menegur cara berpakaian Datuk Junz yang seakan-akan artis Korea maka kerajaan Sabah sepatutnya mempertimbangkan untuk mewujudkan Menteri K-Pop Sabah khas untuk beliau ini agar bakat dan kemahiran beliau dalam berfesyen tidak sia-sia.
4. Sebaliknya, kalau saya diberi peluang untuk memberi rating kepada menteri-menteri Sabah maka saya akan bagi Key Performance Indicators (KPI) yang paling rendah kepada Yb. Datuk Junz Wong atas pencapaiannya selama memegang kementeriannya.
5. Walaupun pada mulanya saya berfikir bahawa Kementeriaan Pelajaran dan Inovasi, Kementerian Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri dan Kementerian Kesihatan Sabah merupakan kementerian yang saya rasa kehilangan kiblatnya namun hari ini saya tiba-tiba merasakan bahawa ketiga-tiga kementerian ini harus diberi peluang memandangkan ianya masih baru dalam kementerian kerajaan Sabah.
6. KPI yang rendah kepada Datuk Junz ini sudah tentu disebabkan oleh pencapaian beliau dalam mengepalai Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang ada kena mengena dengan latar belakang kehidupan saya sebagai budak penanam padi bukit atau juga mungkin disebabkan oleh kenyataan sindiran beliau terhadap Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili, Yb. Jonathan Yasin dan Yb. Althur Joseph Kurup yang secara kebetulannya seKDMR dengan saya.
7. Satu yang mematikan akal fikiran saya ialah apa yang telah dibuat oleh Datuk Junz selama ini di dalam kementeriannya untuk membantu orang kampung yang terdiri daripada golongan petani, nelayan, penternak dan koperasi-koperasi kecil yang rata-ratanya berpendapatan kais pagi makan pagi dan secara kebetulannya pula banyak diusahakan oleh KDMR.
8. Saya faham bahawa adanya usaha kerajaan terdahulu untuk membantu ekonomi golongan ini umpamanya memperkenalkan getah kelompok, memodenkan penanaman padi sawah, bantuan kepada nelayan, memperkenalkan penanaman tanaman jangka pendek seperti pisang dan sebagainya. Namun kelihatan hari ini perkara itu tidak disebut malahan tiada satu pun suara atau usaha Datuk Junz untuk membantu merangsang semula usaha yang sudah dimulakan itu apa lagi memperkenalkan teknik-teknik baru melalui R&D kementeriannya bagi memodenkan sistem tradisional yang diamalkan agar mereka mampu menjana pendapatan yang lebih lumayan.
9. Namun, baru-baru ini kita bukanya mendengar ransangan ekonomi pasca COVID-19 untuk golongan ini daripada beliau tetapi sebaliknya telinga kita didendangi oleh Datuk Junz dengan kenyataan sindiran atas kelembapan pertambahan populasi KDMR berbanding dengan suku-suku kaum yang lain sejak 20, 30, 40 dan 50 tahun yang lepas.
10. Kemudiannya menuding jari kepada pemimpin-pemimpin KDMR seolah-olah masalah ini disebabkan oleh Yb. Dr. Jeffrey, Yb. Dr. Maximus Ongkili, Yb. Jonathan Yasin dan Yb.Althur.
11. Saya selaku KDMR juga turut berdukacita dengan statistik yang dikemukakan oleh Datuk Junz malahan sejak dari dulu lagi saya selalu mengungkit perkara ini dengan mahukan penyelasaian tuntas agar KDMR ini tidak lenyap suatu ketika nanti tapi mempertanggungjawabkan pemimpin-pemimpin KDMR seperti nama-nama yang disebut oleh Datuk Junz adalah suatu perkara yang tidak masuk akal.
12. Sepatutnya sekiranya Datuk Junz betul-betul prihatin terhadap ancaman yang dihadapi olah suku kaum KDMR melalui statistik pertambahan penduduk Sabah yang tidak terkawal maka yang harus disindir, ditanya dan disiasat ialah suku kaum yang bertambah dengan mendadak dan bukannya suku kaum yang terancam.
13. Pertambahan penduduk KDMR adalah normal sama seperti suku kaum cina, melayu dan india di mana-mana negeri di Malaysia tetapi pertambahan penduduk sesetengah suku kaum di Sabah ini langsung tidak masuk akal. Jadi Datuk Junz sepetuntnya bertanya kepada wakil-wakil suku kaum ini bagaimana pertambahan itu berlaku. Mungkinkah pertambahan ini disebabkan oleh pemberian kad pengenalan kepada PTI kemudiannya diakui sebagai suku kaum tertentu?
14. Datuk Junz juga mempertikaikan sokongan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin KDM terhadapa cadangan Menteri Dalam Negeri dengan memperkenalkan satu dokumen iaitu IMM13 sebagai jalan penyelesaian kepada masalah PTI tetapi beliau lupa bahawa tugasan menyelesaikan masalah ini sebenarnya terletak di tangan Ketua Menteri (Immigration Act).
15. Satu yang saya ingin peringatkan kepada Datuk Junz ialah tindak-tanduk kerajaan Warisan selepas sahaja parti ini memerintah di Sabah iaitu dengan mencadangkan memberikan penempatan di darat dan pulau, memansuhkan pengharaman penggunaan pump bot dan sebagainya juga merupakan tindakan yang boleh menggalakkan kedatangan PTI di Sabah. Maka pertanyaan saya yang seterusnya ialah apakah ini dilakukan oleh Yb. Dr. Jeffrey, Yb. Dr. Maximus Ongkili, Yb. Jonathan Yasin dan Yb. Althur?
16. Oleh itu cadangan saya kepada Datuk Junz kalau pun tidak membantu menyelesaikan kemelut demografi kependudukan di Sabah, tumpuhkanlah kepada peranan dan fungsi kementerian MAFI dan pastinya KDMR akan ingat jasa anda.
17. Saya tiada masalah dengan penampilan K-Pop anda cuma perlu patuhi etika berpakaian ketika menghadiri sidang DUN.
Ts. Ir. Jovilis Majami
Kota Kinabalu
22 Jun 2020
Post a Comment