MELBOURNE, 27 Julai: Presiden Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM), Ray Chalmer Jefferson, menggariskan empat strategi utama perjuangan pertubuhan itu yang menurutnya bertujuan memperjuangkan hak penentuan nasib sendiri bagi rakyat Sabah dan Sarawak melalui pendekatan aman, demokratik dan berlandaskan prinsip undang-undang antarabangsa.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, beliau menegaskan bahawa perjuangan SSKM bukan berasaskan kebencian, sebaliknya memberi fokus kepada hak rakyat Sabah dan Sarawak untuk menentukan masa depan politik mereka sendiri.
Menurut beliau, prinsip penentuan nasib sendiri telah diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 1514 (XV) dan Resolusi 1541 (XV), yang menyentuh hak wilayah bukan berkerajaan sendiri untuk menentukan masa depan politik mereka melalui kehendak bebas rakyat.
Ray berkata, strategi pertama yang diperjuangkan SSKM ialah tuntutan supaya satu referendum yang aman, bebas dan telus diadakan di Sabah dan Sarawak.
Beliau menyatakan bahawa masa depan kedua-dua wilayah itu sewajarnya ditentukan oleh rakyat Sabah dan Sarawak sendiri, selaras dengan prinsip demokrasi dan hak penentuan nasib sendiri.
Strategi kedua pula ialah menuntut pengembalian kuasa autonomi yang lebih luas kepada Sabah dan Sarawak, termasuk dalam aspek pengurusan sumber asli, pendidikan, pembangunan ekonomi, imigresen dan pentadbiran wilayah.
Beliau menegaskan bahawa SSKM tidak menolak kerjasama serantau, namun berpendapat kerjasama tersebut perlu berasaskan penghormatan, kesaksamaan dan maruah rakyat Borneo.
Strategi ketiga ialah menggesa penyatuan rakyat Sabah dan Sarawak tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang politik, dengan menyifatkan perpaduan sebagai elemen penting dalam memperkukuhkan perjuangan mereka.
“Perpecahan hanya melemahkan perjuangan kita. Penyatuan akan menguatkan suara kita,” katanya.
Sebagai strategi keempat, Ray memaklumkan bahawa SSKM akan memperkukuhkan kerjasama dengan beberapa organisasi yang turut memperjuangkan hak rakyat Borneo secara aman dan demokratik.
Antara organisasi yang dinamakan ialah Republic of Sabah North Borneo Government in Exile (RSNB GiE), Republic of Sabah North Borneo (RSNB), Borneo Rights Action Force (BORAF) dan Sabah Sarawak Rights Australia New Zealand (SSRANZ).
Menurut beliau, kerjasama tersebut bertujuan memperkukuhkan penyelidikan sejarah, pendidikan rakyat, diplomasi antarabangsa serta meningkatkan kesedaran politik dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak.
Dalam ucapannya, Ray turut menyeru rakyat, khususnya generasi muda Sabah dan Sarawak, supaya mendalami sejarah, mengkaji dokumen serta membentuk penilaian sendiri mengenai masa depan wilayah masing-masing.
Beliau berkata perjuangan yang dibawa SSKM bukan sekadar kempen media sosial, tetapi merupakan usaha membina kesedaran rakyat mengenai sejarah dan hak mereka.
Ucapan beliau diakhiri dengan seruan agar rakyat bangkit dengan ilmu, keberanian dan perpaduan, sambil menegaskan bahawa “hak rakyat mesti dihormati.”
Nota Editorial SNO News: Artikel ini merupakan laporan berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Presiden SSKM melalui media sosial. Kenyataan mengenai hak penentuan nasib sendiri, referendum, autonomi serta tafsiran terhadap resolusi PBB adalah pendirian organisasi tersebut dan tidak semestinya mewakili pendirian SNO News atau mana-mana pihak berkuasa.

Post a Comment