TAWAU, 27 Julai: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan kebimbangan terhadap situasi banjir yang melanda beberapa kawasan di Tawau sambil memaklumkan bahawa pasukan Parti Warisan telah turun padang bagi menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas.
Menurut beliau, misi bantuan tersebut melibatkan pengagihan makanan dan minuman kepada mangsa banjir di beberapa lokasi yang terjejas, termasuk Kampung Rawa-Rawa, Kampung Kopi Blues, Kampung Kinabutan Kecil dan Batu 4.
Shafie turut merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan dan para penyumbang yang telah berganding bahu bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang memerlukan.
Beliau berharap semua agensi berkaitan dapat terus mempercepatkan usaha penyaluran bantuan serta memastikan keperluan asas mangsa banjir sentiasa dipenuhi sepanjang tempoh bencana.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus menunjukkan semangat kebersamaan dengan membantu mengikut kemampuan masing-masing serta mendoakan agar semua mangsa banjir diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan.
“Dalam saat-saat yang mencabar ini, semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Post a Comment