Latest Post


Kota Kinabalu : Masanya Sabah memerlukan Ejen Perubahan (Game Changer) untuk merubah landskap politik di Sabah. Ini perlu kerana pada masa kini senario politik tidak menentu sering dikaitkan dengan pelbagai jenama parti politik yang sudah sekian lama berkumandang di Sabah.

Achmad Noorasyrul Noortaip atau lebih dikenali Ds Chazy dalam media sosial Facebook yang berhasrat untuk bertanding atas tiket Calon Bebas di N18 Inanam berkata, Sabah perlu bergerak lebih progresif dan inovatif sejajar dalam dunia zaman sekarang yang memerlukan sesuatu keputusan terlaksana dengan lebih efisyen, dinamik dan sistematik.

Malangnya Sabah tidak mampu progres ke arah lebih baik disebabkan situasi politik yang terumbang ambing bermula dari PRU14 lagi. Rakyat sentiasa melihat ketidakstabilan politik ini mampu mengganggu gugat keharmonian sejagat malah memberi impak besar dalam menentukan hala tuju masa depan Sabah.

Kini rakyat mula runsing, bingung malah terganggu dengan situasi politik yang menjengkelkan apatah lagi berlaku adagen lompat melompat yang membawa kepada runtuhnya kerajaan Sabah (Dibubar) para 30 Ogos lalu.

Apabila Pilihanraya tiba, kerunsingan rakyat menjadi menebal bila pelbagai parti politik muncul akan tetapi rupa para pemimpin di dalamnya tetap orang yang sama bezanya kali ini mereka membawa logo parti baru masing-masing yang dikemudikan mereka.

Apatah lagi masing-masing parti 'baharu' mengaku sebagai 'the third force' atau pilihan alternatif rakyat selain dua gabungan gergasi yang bertanding iaitu PN mahupun WarisanPlus.

Rakyat akan protes kerana risau situasi 'iri om iri' dalam bahasa Dusun yang bermaksud begitu-begitu saja dan akhirnya demokrasi tidak akan berlaku apa lagi mereka akan berfikir nanti, setelah PRN selesai dan mempunyai kerajaan baru kemungkinan terjadi lagi adagen 'tebuk atap' yang tidak akan pernah ada hujung pangkalnya

Apabila ditanya mengenai Idea Gagasan Calon Bebas Sabah, beliau menegaskan, 'perlu dibentuk satu gerakan pasukan tanpa perlu terikat pada satu parti politik akan tetapi atas satu inisiatif dan aspirasi untuk melakukan perubahan dalam landskap politik di Sabah'.

"Sudah sampai masanya para anak muda Sabah bangkit bersuara, tunjukkan protes anda dijalan yang betul dengan berani berdiri, bertanding tanpa perlu mengharapkan sokongan dari parti berlambak diluar sana. Anak muda harus berani menonjolkan diri dan tunjukkan pada rakyat Sabah bahawa anda boleh memimpin dan mampu mengukir masa depan Sabah yang lebih jelas".

Beliau yang mana seorang Aktivis dan Usahawan Sosial berpusat di Kota Kinabalu mengulas lagi;

"Kita harus bergabung tenaga mewujudkan ejen perubahan baharu terutamanya anak muda tanpa perlu terikat dengan doktrin lama. Ini zaman kolaborasi, kita mampu berhubung, bekerjasama walau bukan satu bumbung. Saya percaya golongan muda tidak mudah di rasuah, maruah dibeli atau berpaling tadah pada rakyat, setiap anak muda zaman sekarang mempunyai potensi-potensi besar malah idea-idea baharu yang mampu membawa masa depan Sabah lebih jauh lagi tanpa perlu bermain dengan politik kuda tua."

Achmad juga seorang Pembangun Aplikasi Telefon Pintar Teksi Motor Pertama Sabah menjelaskan, walaupun Aspirasi Anak Muda Bangkit diangkat, golongan senior yang ingin ambil bahagian dalam Aspirasi ini tidak boleh diketepikan, Mereka mempunyai pengalaman luas, kita harus sama-sama menabur bakti, paling penting sekali golongan senior sudah semakin ramai 'turun' padang dan mengikut sama menjadi 'muda' dengan penerimaan mereka untuk sama-sama melakukan perubahan dengan kepercayaan acuan anak muda bangkit.

Akhir sekali jelas beliau, "mari kita mengangkat aspirasi ini bersama, kita mesti buat perubahan, kita (anak muda) mesti menjadi ejen perubahan (game changer), kitalah yang berhak menentukan masa depan kita sendiri, kita akan cipta sejarah baharu bahawa Sabah akan diiring oleh para golongan anak muda professional dalam pelbagai latar belakang untuk mewujudkan Sabah yang lebih baik. #weGrow!

Oleh Datuk Yong Teck Lee, Presiden SAPP, Bekas Ketua Menteri, Peguam

Kota Kinabalu, Jumaat 31 Julai 2020

Semua parti politik dan calon yang bertanding dalam pilihan raya Sabah akan datang mesti berjanji untuk memulihkan Perkara 2 (3) perlembagaan Sabah yang berbunyi: “Seseorang tidaklah boleh memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah selama lebih daripada dua penggal sama ada secara terus menerus atau selainnya. " Artikel 2 (3) ini diluluskan semasa pemerintahan PBS 1987 untuk tujuan yang sangat baik.

Sebab utamanya cukup jelas. Sehingga Ketua Menteri hari ini tidak perlu berhadapan dengan kerumitan apabila TYT yang mengharapkan atau ingin dilantik semula melebihi dua penggal. Setiap 1 penggal adalah selama empat tahun.

Pada bulan Disember 2018, batas jangka waktu yang ditetapkan dalam Pasal 2 (3) perlembagaan dihapuskan. Secara sah, TYT kini boleh kekal sebagai TYT seumur hidup. Tidak ada jaminan oleh Ketua Menteri hari ini yang akan memuaskan hati rakyat bahawa penghapusan had istilah itu sama mulia seperti yang dituntut.

Tidak kira siapa Ketua Menteri atau siapa TYT. Institusi TYT adalah perkara yang mesti kita lindungi.

Menifesto pilihanraya Warisan atau PH ataupun BN atau Gabungan Sabah mahupun parti politik yang lain pada PRU14 tidak menyatakan “had dua penggal pada jawatan TYT akan dihapus”. Mengapa kemudian, had penggal TYT dihapuskan?

English version

Yong: Restore the two-term limit on TYT

Kota Kinabalu, Friday 31 July 2020

All political parties and candidates contesting in the coming Sabah elections must pledge to restore Article 2(3) of the Sabah constitution which reads: “A person shall not hold office as the Yang di-Pertua Negeri for more than two terms either continuously or otherwise.” Article 2(3) was passed during the 1987 PBS government for a very good reason.

The core reason is obvious. So that the Chief Minister of the day does not have to overcome the real head aches of a TYT who expects or wishes to be re-appointed beyond two terms. Each term is four years.

In December 2018, the term limit stipulated in Article 2(3) of the constitution was abolished. Legally, the TYT may now remain as TYT for life. No amount of assurances by the Chief Minister of the day will satisfy the people that the removal of the term limit is as noble as claimed.

It does not matter who Chief Minister or who the TYT is. It is the office of the TYT that we must protect.

It was not in the Warisan or PH or BN or Gabungan Sabah or any other party election manifesto that the two-term limit on the TYT post will be removed. Why then, was the term limit removed?

Datuk Yong Teck Lee
SAPP President, Ex-Chief Minister, lawyer

1. Kenyataan Datuk Shafie Afdal Ketua Menteri Sabah di Parlimen yang meminta Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan Ketua Pembangkan Sabah untuk bertanya kepada Kerajaan Persekutuan siapa sebenarnya yang berkuasa untuk memberi Kad Pengenalan (KP) ibarat “kura-kura dalam perahu” dan “lempar batu sembunyi tangan”

2. Datuk Shafie ini sebenarnya lebih tahu berbanding dengan semua Ahli Parlimen yang ada hari ini kerana beliau telah lama berada dalam Kerajaan Persekutuan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad mantan Perdana Menteri Malaysia dan kini Shafie merupakan Ketua Menteri Sabah.

3. Shafie juga tahu bahawa kebanjiran PTI di Sabah ini bermula sejak era Tun Sakaran Dandai iaitu bapa saudara beliau sendiri dan kemuncaknya adalah pemberian “Projek IC” yang dikatakan didalangi oleh Tun Mahathir.

4. Dan hari ini apabila beliau menjadi Ketua Menteri Sabah sudah pastinya beliau lebih tahu bagaimana proses pemberian KP ini kepada warga asing atas pengalaman-pengalaman yang dilaluinya selama ini.

5. Kerajaan Warisan pimpinan Shafie Afdal tidak boleh melemparkan batu dan menyembunyikan tangan bahawa pengeluaran KP ini dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada kerajaan persekutuan kerana KP itu dikeluarkan apabila borang permohonan itu lengkap diisi dengan dokumen-dokumen yang diperlukan ada di sertakan tetapi apa yang penting ialah kenapa mereka berada disini.

6.  Shafie sudah tentu sedar bahawa sebaik sahaja beliau mengambil alih Kerajaan Sabah banyak tindakan dan dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri boleh umpamakan sebagai menabur gula untuk menarik semut-semut memakan gula tersebut.

7. Salah satu contoh gula yang ditabur oleh kerajaan beliau ialah memberikan pulau-pulau di Sabah ini sebagai penempatan PTI itu sudah tentu PTI-PTI ini akan merasa seronok untuk terus datang ke Sabah kerana mereka tahu bahawa akan diberikan penempatan juga.

8. Gula yang seterusnya ialah tanah-tanah Kerajaan Negeri Shafie cadangkan untuk digazet bagi menyusun semula setinggan-setinggan yang berlambak di Sabah ini sedangkan rumah-rumah setinggan ini sinonim dengan penempatan PTI? Bukankah ini juga akan mendorong mereka untuk datang ke Sabah?

9. Apabila mereka terlalu lama disini dan beranak-pinak maka lahirlah apa yang Shafie katakan sabagai “Kanak-kanak Stateless” kemudian beliau memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak ini demi perikemanusiaan. Disini siapa sebenarnya punca pemberian KP ini?

10. PTI-PTI yang diberi penempatan oleh Kerajaan Warisan juga akan berusaha untuk mendapatkan pelbagai cara seperti mencari bapa angkat, menyogok orang-orang tempatan untuk dijadikan bapa angkat atau menggunakan orang tempatan sebagai bapa kepada anak-anak mereka selepas itu mereka memohon KP. Ini juga masalah Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Pendaftaran?

11. PTI-PTI yang diberkan penempatan ini kemudiannya memikat gadis-gadis tempatan supaya mereka boleh mendapatkan jaminan untuk terus tinggal disini dan kemudiannya memohon KP. Apakah ini juga masalah Kerajaan Persekutuan?

12. Apabila mereka-mereka ini beranak-pinak dan bertambah banyak sudah tentu mereka akan memanggil saudara mara mereka dari seberang sana untuk datang ke Sabah atas alasan ikatan persaudaraan. Maka mereka ini terus membantu saudara mara mereka untuk mendapatkan KP atas alasan ada ikatan persaudaraan. JPN juga tidak akan menolok permohonan ini kerana dilihat ianya memenuhi syarat-syarat yang mereka perlukan.

13. Saya merasakan kalau Shafie benar-benar ikhlas untuk mengatasi masalah PTI di Sabah yang pertama beliau perlu lakukan ialah memohon supaya membatalkan Projek IC yang dikeluarkan ketika era Tun Dr. Mahathir tetapi nampaknya beliau tidak berminat keatas itu sebaliknya mensyorkan supaya Tun Mahathir menjadi presiden Parti Warisan.

14. Shafie juga merupakan Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Sabah yang punyai hak untuk menghalau PTI-PTI dari bumi Sabah tetapi kenapa beliau tidak lakukannya seperti apa yang dilakukan oleh Tan Sri Datuk Chong Kah Kiat? Adakah Shafie hanya menunggu sehingga mereka ini ada peluang untuk mendapatkan KP?

15. Oleh itu, Shafie seharusnya tidak perlu bertanya kepada Dr. Jeffrey atas masalah pemberian IC kepada PTI di Sabah tetapi beliau harus jujur tentang apa matlamat beliau ke atas PTI-PTI di Sabah ini.

16. Datuk Darell Leiking pula bukannya hero KDMR harap beliau akan dihukum oleh rakyat pada PRU15 nanti.


Ts. Ir. Jovilis Majami
STAR Sabah
Kota Kinabalu
28.07.2020

1.  Tiada satu pun perjanjian yang sudah dimetrai itu tidak boleh dibubar atau dikaji semula.

2.  Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga begitu.

3.  Memandangkan banyak ketidaksempurnaan dalam pelaksanaan MA63 sehingga menimbulkan ketidakpuashatian dipihak Sabah dan Sarawak maka adalah sesuatu yang wajar supaya MA63 ini perlu diganti kepada perjanjian baru yang lebih adil dan saksama kepada semua pihak.

4.  Kita berbangga dengan cadangan Presiden Parti Solidariti Tanahairku (STARSabah) Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan dua tahun lepas bahawa MA63 perlu digantikan kepada Malaysian Union Agreement 2020 atau Perjanjian Kesatuan Malaysia 2020 dengan singkatannya MUA2020 sudah tiba masanya untuk dilaksanakan.



5.  Saya turut menyokong kenyataan Presiden STAR itu bahawa Wilayah Sabah dan Sarawak kini sudah cukup dewasa dan mampu memikul tanggungjawab sebagai sebuah negara yang bebas dan merdeka.

6.  Kini usia Persekutuan Malaysia sudah mencecah 57 tahun maka Sabah dan Sarawak tidak lagi boleh dianggap sebagai wilayah yang tidak mampu untuk berdiri dikaki sendiri jika itu adalah alasan ketika menggabung Sabah dan Sarawak kepada Persekutuan Tanah Melayu ketika itu.

7.  Kita juga melihat bahawa MA63 ini sering menjadi perdebatan diantara beberapa pihak terutamanya kesahannya selepas Singapura keluar dari perjanjian ini.

8.  Banyak juga diantara orang-orang kita yang muncul dan mendakwa bahawa mereka adalah pakar dalam MA63 sehinngga berlakunya bidas-membidas dikalangan mereka sendiri disebabkan mempertahankan hujah masing-masing sehingga melupakan tujuan asal iaitu mengambalikan perjanjian ini ke landasan yang betul.


9.  Maka itu, daripada kita bertegang urat dengan MA63 yang nampaknya tidak berkesudahan adalah lebih baik untuk kita duduk semeja dan sepakat untuk mengadakan satu perjanjian baru dikalangan tiga wilayah ini.

10.  Perjanjian baru ini sudah tentu lebih baik untuk Wilayah Sabah dan Sarawak memandangkan kita sudah punyai cukup pengalaman dengan perjanjian yang lama ini.

11.  Namun sekiranya ada diantara wilayah-wilayah ini tidak senang hati dan tidak bersetuju dengan perjanjian baru ini maka kita Rakyat Sabah juga berhak untuk menentukan halatuju kita.

12.  Asalkan Rakyat Sabah bersatu padu maka tiada yang mustahil dalam mencapai cita-cita.


Ts. Ir. Jovilis Majami
Kota Kinabalu
21 Julai 2020

Kota Kinabalu, 14 Julai: Kerajaan Negeri diminta memberi penjelasan lanjut dan lebih terperinci bagaimana bentuk perancangan untuk memulihkan keadaan setinggan seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong semasa sesi taklimat di  Bilik Mesyuarat Majilis Perbandaran Tawau (MPT) baru-baru ini. 

Menurut Ts. Ir. Jovilis Majami penjelasan secara terperinci terhadap cadangan ini penting kerana setinggan-setinggan ini sangat sinonim dengan penempatan-penempatan Pendatang Tanpa Izin (PTI), pemegang-pemegang Kad Pengenalan Palsu dan juga mereka yang mendapat Projek IC semasa era pemerintahan Tun Mahathir dahulu.

“Kajian-kajian juga sudah banyak dibuat dan banyak laporan atau berita daripada Majilis Tempatan yang menyatakan bahawa setinggan-setinggan ini merupakan sarang utama PTI”

Ts. Ir. Jovilis berkata walaupun cadangan yang dikemukakan oleh Datuk Jaujan itu kelihatan baik bagi mencegah berlakunya kebakaran dan membendung aktiviti jenayah di kawasan tersebut tetapi masalah utama yang dihadapi oleh Negeri Sabah iaitu kebanjiran Pendatang Tanpa Izin (PTI) tidak akan dapat diselesaikan.

“Kerajaan perlu menyelidik terlebih dahulu dan memastikan siapa yang tinggal di setinggan-setinggan ini sama ada mereka ini adalah Orang Asal Sabah (OAS) atau sebaliknya kerana kita tidak mahu PTI mendapat manfaat apabila kerajaan menyediakan penempatan yang lebih baik dan tersusun kelak”

“Kerajaan perlu faham bahawa menyelesaikan penempatan setinggan seperti menyediakan penempatan yang tersusun, menyediakan kemudahan yang lengkap serta menaiktaraf kawasan setinggan tidak akan menyelesaikan masalah PTI di Sabah tetapi ianya akan mendorong PTI-PTI yang baru untuk mewujudkan penempatan setinggan yang baru kerana mereka mengharap akan dibela oleh kerajaan”

Ts. Ir. Jovilis berkata dengan menyediakan penempatan kepada orang yang tidak sepatutnya atau PTI maka kes-kes jenayah dan masalah sosial bukannya berkurang seperti yang diharapkan oleh Jaujan tetapi sebaliknya bertambah kerana pertambahan bilangan mereka yang tinggal di situ.

Ts. Ir. Jovilis berkata lagi bahawa penjelasan secara terperinci juga adalah untuk memastikan bahawa penyelesaian isu ini bukannya melibatkan pemberian tanah dan pemberian pulau kepada penduduk setinggan seperti yang pernah dicadangkan sebelum ini oleh Kerajaan Negeri. 

“Rakyat Sabah nyata menolak penyelesaian sebegitu kerana ianya akan memudaratkan OAS dalam jangka masa panjang kerana akan mendorong kedatangan saudara mara mereka ke Sabah dan akhirnya Negeri Sabah ini dihuni oleh puak-puak mereka”.

“Kerajaan Negeri juga tidak boleh menyamakan pengazetan tanah untuk penempatan setinggan dangan pemberian geran tanah kepada orang-orang di pedalaman kerana tanah itu memang sudah dihuni oleh mereka beratas-ratus tahun lamanya dan ada termaktub dalam Perkara 160 Perlambagaan Malaysia (Tanah Orang Asal) atau Tanah Adat dalam seksyen 5, 6, 13-16, 65 dan 88”



KOTA KINABALU: Penyerahan geran tanah seluas 6,425 hektar kepada 101 kampung di Sook, Keningau baru-baru ini oleh Kerajaan Sabah pimpinan Parti Warisan walaupun dilihat baik namun ianya tetap mempunyai agenda tersendiri iaitu untuk memancing sokongan masyarakat KDMR di kawsan Pedalaman Atas Sabah.



Menurut Ts. Ir. Jovilis Majami ini kerana selepas sahaja Kerajaan Sabah diambil alih Kerajaan Warisan dan rakan sekutunya polisi pentadbiran mereka sangat teruk dan tidak menyebelahi dengan meminggirkan Orang Asal Sabah (OAS) terutamanya suku kaum KDMR.

Rentetan daripada itu ramai di antara penyokong Parti Warisan mahupun parti komponen Kerajaan Negeri Sabah mengambil keputusan untuk meninggalkan mereka kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan dan halatuju parti tersebut.

“Kita sudah sedia maklum baru-baru ini ada dua Ahli Dewan Undengan Negeri (ADUN) mereka iaitu Datuk Limus Juri dan Datuk James Ratib kedua-duanya pemimpin KDMR  telah mengambil keputusan untuk tidak lagi menyokong kepimpinan kerajaan negeri kerana hilang kepercayaan terhadap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri”

Menurut Ts. Ir. Jovilis menurut info yang diterima daripada sumber yang boleh dipercayai sebenarnya ada banyak lagi ADUN yang bertindak keluar daripada kerajaan negeri atas alasan yang sama tetapi dihalang oleh Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Afdal dengan pelbagai ancaman.

“Sejak akhir-akhir ini juga beribu-ribu ahli parti daripada Kerajaan Negeri Sabah terutamanya dari kawasan-kawasan KDMR keluar parti dan menyertai parti pembangkang kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri”

Oleh yang demikian Ts. Ir. Jovilis berkata untuk membina keyakinan masyarakat KDMR supaya kembali menyokong kerajaan negeri maka Datuk Seri Shafie Afdal menggunakan peluang ini untuk memberikan geran tanah di Sook Keningau yang rata-ratanya adalah masyarakat KDMR.

Selain daripada itu menurut Ts. Ir. Jovilis pemilihan Daerah Keningau sebagai lokasi untuk memberikan geran tanah ini oleh kerajaan negeri  juga ada sangkut-pautnya dengan status Parlimen dan DUN ini yang dikuasai oleh Ketua Pembangkang Kerajaan Negeri Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan. 

“Ketika ini Datuk Seri Shafie melihat bahawa Datuk Dr. Jeffrey merupakan ancaman utama kerajaan negeri kerana sejak akhir-akhir ini populariti Dr. Jeffrey dan Parti STARSabah mengatasi populariti Shafie dan Part Warisan”

“Ketika ini kita melihat dimana-mana pelosok Negeri Sabah ada sahaja dikalangan ahli-ahli parti Kerajaan Negeri yang keluar parti dan kebanyakan daripada mereka ini memilih Parti STARSabah pimpinan Dr. Jeffrey”

Ts. Ir. Jovilis berkata dengan Kerajaan Negeri memilih Keningau sebagai lokasi untuk menyerahkan geran tanah maka Shafie mengharapkan agar sokongan KDMR ke atas Dr. Jeffrey akan beralih kepadanya namun ini sudah tentu tidak akan berlaku kerana rakyat sudah tentu akan menilai sesebuah kerajaan itu daripada keseluruhan polisi yang ingin dilaksanakannya.

“Kita semua kena ingat bahawa Kerajaan Warisan juga berniat untuk mengazetkan tanah untuk penempatan setinggan dan memberikan pulau-pulau untuk penempatan Pendatang Tanpa Izin (PTI)”

 “Sudah tentu apabila mereka merasakan kuat dengan mempunyai bilangan ADUN yang tidak boleh diganggu gugat maka sudah tentu mereka akan melaksanakan polisi ini”

Oleh yang demikian Ts. Ir. Jovilis berharap agar Rakyat Sabah terutamanya golongan KDMR dapat membuat penilaian yang tepat untuk memilih parti dan pemimpin yang menerajui Negeri Sabah sekiranya berlaku pilihanraya dalam masa terdekat ini.

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.