1.  Saya sependapat dengan Presiden SAPP dan Mantan Ketua Menteri Sabah juga kini ADUN Dilantik Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee bahawa Laporan Akhir Jawatankuasa Khas Kabenit (JKK) untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63) itu perlu didedahkan kepada umum.

2. Malahan saya pernah memberi pandangan dan menyangkal kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Hanifah Hajar Taib dalam blog saya pada 30 Julai 2020 apabila timbalan menteri ini mengatakan bahawa laporan ini bertaraf rahsia selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

 

3. Namun amat menyedihkan kerana dalam sidang parlimen kelmarin 23 November 2020, sekali lagi kenyataan ini diulangi bahawa tiada keperluan untuk mendedahkan laporan ini kepada umum.

 

4. Dan kali ini yang bercakap ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Panglima Dr. Maximus J. Ongkili iaitu ahli parlimen yang berasal dari Sabah Borneo juga.

 

5. Saya masih berpendirian bahawa laporan ini perlu didedahkan kepada umum agar setiap diantara kita boleh meneliti dan memberi maklum balas terutamanya mereka yang arif dalam perundangan atau sesiapa sahaja yang berpengetahuan dalam bidang ini.

 

6. Penglibatan Rakyat Sabah dan Sarawak dalam menyelesaikan isu ini adalah bertujuan untuk mengelak sebarang ketidakpuasan hati yang timbul kemudian wujudnya protes untuk tidak bersetuju dengan kaedah atau cara penyelasaian yang diputuskan. 

 

7. Kerajaan kena fikir bahawa apabila keputusan akhir ini disembunyikan maka sebilangan rakyat akan mempersoal dan mempertikannya disebabkan mereka tidak berpuashati dengan dapatan tersebut dan akhirnya dapatan itu tidak dapat dilaksanakan. Apabila cadangan dapatan jawatankuasa ini tidak dipersetujui maka akan ada lagi cadangan untuk menubuhkan jawatankuasa baru bagi mengkaji perkara yang sama. Maka, isu ini tidak akan selesai sampai bila-bila.

 

8.  Saya merasakan adalah lebih baik kita berbahas, bertelingkah, bergaduh dan sebagainya diperingkat awal demi untuk mencari kesepakatan dan penyelesaian tuntas daripada membiarkan perkara ini berlarutan sampai bila-bila.

 

9. Melalui pendedahan laporan ini juga Rakyat Sabah dan Sarawak akan dapat mempertimbangkan langkah seterusnya sama ada kita meneruskan dengan 1. memperbaiki MA63, 2. membuat perjanjian baru yang lebih adil atau 3. Sabah dan Sarawak boleh mengambil keputusan untuk membubarkan persekutuan ini. Ini yang saya katakan penyelasaian TUNTAS.

 

10. Hari ini Rakyat Sabah dan Sarawak sukar untuk menentukan halatuju, bersuara atau mengemukakan pandangan kerana kita tidak mengetahui secara jelas akan kendungan laporan ini. 

 

11. Dengan pendedahan nanti, kita juga dapat mengekang janji-janji manis parti-parti politik yang pandai menggunakan isu MA63 sebagai modal politik mereka untuk mendapatkan sokongan daripada Rakyat Sabah dan Sarawak namun apabila mereka menang pelbagai alasan diberikan untuk menafikan pelaksanaan MA63.

 

12. Perikatan Nasional (PN) telah mewujudkan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) dan Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik juga adalah berasal dari Sabah dan Sarawak maka ini menujukan satu signal yang cukup jelas bahawa kerajaan PN memberi kuasa dan kebebasan sepenuhnya untuk kementerian ini merangka cara untuk menyelesaikannya. 

 

13. Apabila tidak menggunakan sepenuhnya peluang sebegini maka persekutuan boleh menggunakan alasan ini untuk menafikan tuntutan kita dikemudian hari.

 

 14. Oleh itu, sebelum kita menjadi pembangkang balik dan kemudian menyalak tidak tentu arah untuk menuntut MA63 adalah lebih baik untuk kita DEDAHKAN LAPORAN AKHIR JAWATANKUASA KHAS KABINET (JKK) MENYEMAK PELAKSANAAN PERJANJIAN MALAYSIA (MA63) agar kita boleh baca bersama-sama.

 

Ts. Ir. Jovilis Majami

Kota Kinabalu

24 November 2020

Labels:

Post a Comment

Post a Comment

Powered by Blogger.