Allan G Dumbong
Dalam sistem demokrasi, tujuan utama barisan pembangkang ialah menjatuhkah parti pemerintah. Parti pemerintah pula berusaha mempertahankan kuasa atau mandat yang diberi. Kedua-dua pihak menggunakan strategi yang bermoral ataupun salah dan tidak bermoral demi untuk mendapatkan atau mengekalkan kuasa. Jika mandat itu mula dipersoalkan atau menjadi rapuh, adalah tugas parti pemerintah itu memanggil pilihanraya supaya mereka mendapat mandat yang lebih kukuh.

Mandat memerintah itu tidak semestinya stabil pada setiap masa kerana ia bergantung kepada legitimasi, keupayaan dan prestasi mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan sesuai dengan ekspektasi rakyat.

Suasana politik di Sabah ini pada dasarnya mengikut lunas-lunas sistem demokrasi walaupun amalan itu tidaklah begitu sempurna. Ini disebabkan aktor-aktor politiknya seringkali menggunakan taktik-taktik kotor (immoral) dalam usaha mendapatkan kuasa. Parti pemerintah pula senantiasa menggunakan "State's political apparatus" dengan sewenang-wenangnya demi untuk menjatuhkan aktor-aktor pembangkang.

Apa yang kita saksikan di persada politik Sabah masa ini ialah satu budaya politik yang belum matang. "Patronage politics" masih menjadi amalan di kalangan "political warlords" sehinggakan permainan "money politics" dan "horse trading" itu begitu kronik dan memudaratkan kelangsungan "polity" itu sendiri.

Pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah oleh TYT Yang DiPertua Negeri pada 30 Julai 2020 dan pilihanraya negeri yang mesti diadakan sebelum 28 September 2020 itu tidak akan mengubah trend budaya politik yang sedia ada. Malah, keadaannya mungkin akan lebih berkecamuk dan kemelut politik itu pula akan membawa beberapa implikasi negatif yang tidak langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Pun begitu, PRU15 ini akan menyaksikan pertarungan di kesemua 73 kawasan DUN dan ini merupakan satu peluang bagi rakyat Sabah untuk menapis siapakah yang patut dan tidak patut dipilih sebagai ADUN. Ini juga merupakan satu peluang kepada pemimpin-pemimpin muda untuk tampil ke hadapan dan mengetengahkan idea-idea baru yang boleh mematangkan budaya politik Sabah. Adalah menjadi harapan semua bahawa parti-parti yang terpilih menjadi "parti pemerintah" kelak mendapat mandat yang kukuh, menerima legitimasi yang sewajarnya dan mampu memperkenalkan dasar-dasar yang efektif dalam menangani masalah-masalah sosio-ekonomi yang dihadapi oleh rakyat Sabah sekarang ini.

Oleh:
Allan G Dumbong
Penganalisis Politik
New Zealand
2 Ogos 2020
Labels:

Post a Comment

Post a Comment

Powered by Blogger.