Kota Kinabalu, 14 Julai: Kerajaan Negeri diminta memberi penjelasan lanjut dan lebih terperinci bagaimana bentuk perancangan untuk memulihkan keadaan setinggan seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong semasa sesi taklimat di Bilik Mesyuarat Majilis Perbandaran Tawau (MPT) baru-baru ini.
Menurut Ts. Ir. Jovilis Majami penjelasan secara terperinci terhadap cadangan ini penting kerana setinggan-setinggan ini sangat sinonim dengan penempatan-penempatan Pendatang Tanpa Izin (PTI), pemegang-pemegang Kad Pengenalan Palsu dan juga mereka yang mendapat Projek IC semasa era pemerintahan Tun Mahathir dahulu.
“Kajian-kajian juga sudah banyak dibuat dan banyak laporan atau berita daripada Majilis Tempatan yang menyatakan bahawa setinggan-setinggan ini merupakan sarang utama PTI”
Ts. Ir. Jovilis berkata walaupun cadangan yang dikemukakan oleh Datuk Jaujan itu kelihatan baik bagi mencegah berlakunya kebakaran dan membendung aktiviti jenayah di kawasan tersebut tetapi masalah utama yang dihadapi oleh Negeri Sabah iaitu kebanjiran Pendatang Tanpa Izin (PTI) tidak akan dapat diselesaikan.
“Kerajaan perlu menyelidik terlebih dahulu dan memastikan siapa yang tinggal di setinggan-setinggan ini sama ada mereka ini adalah Orang Asal Sabah (OAS) atau sebaliknya kerana kita tidak mahu PTI mendapat manfaat apabila kerajaan menyediakan penempatan yang lebih baik dan tersusun kelak”
“Kerajaan perlu faham bahawa menyelesaikan penempatan setinggan seperti menyediakan penempatan yang tersusun, menyediakan kemudahan yang lengkap serta menaiktaraf kawasan setinggan tidak akan menyelesaikan masalah PTI di Sabah tetapi ianya akan mendorong PTI-PTI yang baru untuk mewujudkan penempatan setinggan yang baru kerana mereka mengharap akan dibela oleh kerajaan”
Ts. Ir. Jovilis berkata dengan menyediakan penempatan kepada orang yang tidak sepatutnya atau PTI maka kes-kes jenayah dan masalah sosial bukannya berkurang seperti yang diharapkan oleh Jaujan tetapi sebaliknya bertambah kerana pertambahan bilangan mereka yang tinggal di situ.
Ts. Ir. Jovilis berkata lagi bahawa penjelasan secara terperinci juga adalah untuk memastikan bahawa penyelesaian isu ini bukannya melibatkan pemberian tanah dan pemberian pulau kepada penduduk setinggan seperti yang pernah dicadangkan sebelum ini oleh Kerajaan Negeri.
“Rakyat Sabah nyata menolak penyelesaian sebegitu kerana ianya akan memudaratkan OAS dalam jangka masa panjang kerana akan mendorong kedatangan saudara mara mereka ke Sabah dan akhirnya Negeri Sabah ini dihuni oleh puak-puak mereka”.
“Kerajaan Negeri juga tidak boleh menyamakan pengazetan tanah untuk penempatan setinggan dangan pemberian geran tanah kepada orang-orang di pedalaman kerana tanah itu memang sudah dihuni oleh mereka beratas-ratus tahun lamanya dan ada termaktub dalam Perkara 160 Perlambagaan Malaysia (Tanah Orang Asal) atau Tanah Adat dalam seksyen 5, 6, 13-16, 65 dan 88”
Post a Comment
Post a Comment